Eid pada tahun ini begitu bermakna bagi saya. Mengapa? Dari satu segi, setelah beberapa tahun berada di bumi Ireland ini, lebih mendalam saya mengenali tentang komuniti Muslim yang bermastautin di Ireland ini. Dan semakin bertambah tahun, semakin mendalam makna Eid Adha yang saya sambut ini. Banyak! Terlampau banyak saya mengenali Islam di sini dari saya berada di negara sendiri.
Apa yang saya mahu kongsikan adalah apa yang saya alami hari ini. Indeed, experience is the best teacher~
* * *
Saya memilih untuk bersolat Eid bersama komuniti Muslim yang ramai pagi tadi, di sebuah pusat sukan, 15 minit memandu dari rumah saya.
Saya memilih untuk menumpang kereta rakan kepada teman serumah saya. Saya mengenali beliau sebagai seorang yang kuat pegangan agama Kristian. Sangat baik, murah dengan senyuman, lembut dan kerap ke gereja untuk Sunday mass. Beliau baru mengenali saya hari ini. Tapi, saya telah mengenalinya dari 2 tahun lampau, kerana saya selalu mencari siapa dia (baca: stalk) dan meninjau perkembangannya dahulu. Kerana bagi saya, beliau ada satu aura yang cukup istimewa. Cukup saya katakan bahawa beliau adalah manusia yang logam dan berpotensi besar.
Beliau membesar di Negara ini, tinggal bersama dengan keluarganya yang juga teguh dan kuat pegangan agama. Beliau bertemu, berkenalan dengan beberapa Muslim dalam kelasnya dan kerap bertanya tentang Islam. Minatnya sangat mendalam pada Islam. Dan antara sumber pentingnya juga adalah youtube dan website-website Islam.
Saya pernah terlihat beliau dalam satu event Islamic Society di university kami, dan beliau memakai tudung. Saya kira, beliau hanya cuba-cuba. Tetapi kemudiannya, didapati bahawa beliau sebenarnya telah memeluk Islam pada tahun ini! Subhanallah! Walhamdulillah! Tetapi, beliau masih dalam tempoh merahsiakan semua ini dari keluarganya yang tentu sekali akan menjadi penghalang terbesarnya.
Jadi, beliau hanya memakai tudung dalam event yang selamat untuk beliau hadiri. Tetapi, solatnya terjaga sepanjang berada di university. Dan beliau berkata pada hari Jumaat lepas, “I wish Arafah is today, so that I can fast”. Kerana apa? Kerana beliau sukar berpuasa pada hari Sabtu kerana beliau tinggal dan berada bersama dengan keluarganya. Tentu sekali beliau harus bersama untuk sarapan dan makan tengahari bersama keluarga.
Paling menyentuh hati saya adalah apabila pulangnya dari solat Eid, beliau terpaksa memberhentikan kami separuh jalan kerana beliau sudah lambat untuk meghadiri Sunday mass bersama keluarganya! Satu event penting bagi keluarganya. Sangat penting! Tapi beliau berusaha dan berusaha, dengan sangat berusahanya untuk tetap keluar pagi itu untuk sama-sama solat Eid.
Hati saya menjerit. Perasaan saya bercampur baur. Terharu. Sedih. Kagum. Malu.
Sabarnya beliau mempelajari dan mengamalkan Islam dalam hidupnya. Teguhnya hati beliau dalam mengekalkan kepercayaannya dalam ketiadaan ‘biah’ atau suasana yang mudah untuknya beribadah. Besarnya pengorbanan beliau dalam menjaga hati keluarganya dan pada masa yang sama kemahuannya untuk bebas melaksanakan apa yang beliau mahu.
Diberinya alasan bahawa ingin ke hospital pagi ini kepada Si Ibu kerana Ibu sudah pasti akan menghalang. Bergegas terus setelah habis solat Eid dan sehabis saja mass, saya berjumpa kembali dengan beliau dalam majlis makan-makan sesama Malaysian di sini.
Saya ter-reflect. Kerdilnya saya berbanding beliau. Bagaimanakah dengan saya? Dengan nikmat Islam dan Iman yang Allah beri ini. Apakah pula pengorbanan saya? Adakah saya telah menyerahkan diri saya sepenuhnya untuk mengenali Islam dan menggunakan segala apa kemudahan (baca: keluarga, suasana, pendidikan asas) yang Allah berikan pada saya?
Atau. Adakah saya masih hanya bermain-main dalam pengabdian saya kepada Allah.
Pengabdian supaya kita men-ta’dzim-kan Allah. Mengagungkan Allah. Bukan hanya mengagungkan dalam lafaz Takbir Eid kita. Tapi dalam seluruh hidup kita. Betul-betul dalam hidup kita keseluruhannya.
Dan adakah saya cukup mendalami erti Eid Qurban ini?
Erti korban yang bukan hanya dengan sedikit harta untuk membeli bahagian korban. Tapi dengan kita mengorbankan SELURUH harta kita. Masa kita. Jiwa kita. Perasaan kita. Hati kita. KITA.
Atau kita lebih suka tinggal dengan dunia dan isinya yang hanya sedikit nilaiannya?
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأَخِرَةِۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِى ٱلۡأَخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ (٣٨
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (Taubah: 38)
Beliau telah menyahut seruan ini,
ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ وَجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (٤١)
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Taubah: 41)
Bagaimana pula dengan saya? Bagaimana dengan kita? T_T
Eid Mubarak!
Yang masih bermain-main di pinggiran.
Hamba yang dhaif
2220, Eid Qurban 2011.
0 comments:
Post a Comment