“Tahun ni kita nak buat kaler apa?”
“Mama rasa warna putih yang dulu tu cantik lagi. Tak perlu nak tukar-tukar, bazir duit je.”
“Abah nak kaler pink.”
“Hijau.”
“Kaler kuning lagi cantik la.”
Susahnya hendak mencapai kata sepakat dalam menentukan warna yang sesuai untuk mengecat rumah tahun ini. Maklumlah, 11 kepala dalam satu keluarga, memang macam-macam ragam. Selepas berbincang dan masing-masing tunjukkan warna pilihan masing-masing, akhirnya kata putus dicapai. Semua bersetuju agar warna rumah tahun ini mengikut tema warna baju raya tahun ini. Jingga (orange).
………
“Nyonya, saya mahu kaler yang ini, brand yang ini. Tak mahu yang lain.”
“Haiyaa, itu cat bukan untuk dinding. Itu kaler untuk besi macam pintu pagar. Mana boleh guna untuk cat dinding.”
Di kedai pun, masalah masih tetap ada. Warna yang dipilih tidak sesuai untuk mengecat dinding rumah. Maka, setelah pusing satu pekan, akhirnya terjumpa sebuah kedai yang menjual cat khusus untuk cat dinding yang warnanya seakan-akan warna yang dipilih.
“Kalau you mahu yang murah, ambil brand XXX ni la. Yang ok sikit pakai brandYYY. Yang paling baik dan cantik, brand ZZZ ini la.”
Orange Blossom. Warna cat yang dipilih. Namun dalam satu warna, ada tiga pilihan untuk kualiti yang berlainan. Aduh, pening betul untuk memilih yang mana satu. Kalau ambil yang murah, takut nanti warna cepat pudar. Yang mahal pulak, out of budget. Maka setelah di kira-kira, ambil yang tengah-tengah.
………
Sebelum mula mengecat, banyak perkara lain yang perlu dilakukan. Sawang labah-labah di penjuru dinding perlu dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian mana-mana bahagian dinding yang berlubang, perlu ditampal dengan simen supaya permukaan dinding yang mahu dicat menjadi rata. Seterusnya, barang-barang lain yang diletakkan berhampiran dinding perlu diubah agar tidak kotor terkena cat. Akhir sekali, permukaan lantai perlu diletakkan alas surat khabar supaya cat tidak tertumpah ke lantai.
“Cat kamu beli ni murah ke? Nampak cair je. Dinding ni kalau cat double layerbaru nampak cantik kalau guna cat ni.”
“Kalau nak nampak cantik, gunakan berus dalam satu arah sahaja. Janganlah kejap menegak, kejap mengiring.”
“Pastikan dinding yang dicat tu sekata. Jangan bagi bertompok. Jangan ada kawasan yang tebal, kwasan yang nipis.”
Bermacam-macam lagi teguran yang saya terima sewaktu mula mengecat dinding rumah ini. Maklumlah, walaupun umur dah lebih 20tahun, hanya beberapa kali sahaja tangan ini pegang berus dan roller untuk mengecat. Tapi alhamdulillah, berkat teguran dan nasihat yang diberikanlah memberikan hasil yang terbaik.
____________________________
Seorang insan yang menggelarkan diri mereka du’at, yang menyeru orang lain kepada jalan mentauhidkan Allah, sebenarnya sama seperti seorang tukang cat. Dalam bab membuat sesuatu keputusan, anak-anak buah yang ramai masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza. Masing-masing mahukan pendapat mereka diambil kira. Seorang naqib/naqibah terpaksa berdepan dengan kerenah anak-anak usrahnya yang mempunyai pelbagai ragam. Skil untuk bertoleransi sangat diperlukan agar kata sepakat dapat dicapai, sama seperti dalam urusan memilih warna cat itu tadi.
“Toleransi itu bukanlah penyebab satu pihak rugi dan satu pihak untung. Toleransi itu adalah apabila keputusan yang dicapai itu kita terima dengan hati yang terbuka.” -nasihat seorang ikhwah kepada saya.
………………
Kemana kita sebagai seorang pendakwah menyeru manusia lain? Andai seruan itu disamakan dengan cat, cat yang manakah yang terbaik? Adakah cat yang hanya tahan beberapa tahun sahaja dan terus pudar setelah beberapa lama? Atau cat yang yang bakal membuatkan dinding itu kekal lama dan nampak lebih cantik?
“Sibgah Allah. Siapa yang lebih baik sibgah-Nya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah.” [2:138]
Jika penjual cat itu telah mengatakan bahawa cat jenama ZZZ yang terbaik, percayakah kita kepadanya? Saya yakin, pasti ramai yang akan percaya kepada kata-katanya. Tapi, dalam kes ini, Allah telah menyatakan bahawa sibgah atau celupan milikNya adalah yang terbaik. Agak-agak, ada tak orang yang tak percaya dengan kata-kata Yang maha Pencipta ini?
………..
Sebelum kita mula ‘mengecat’ seseorang dengan sinar Islam, juga banyak perkara lain yang perlu kita lakukan terlebih dahulu. Buangkan sawang-sawang jahiliah di dinding hatinya, tampalkan lubang-lubang luka di hatinya dengan simen Al-Quran, dan alaskan dihadapannya dengan cara hidup seorang mukmin yang sejati. Setelah selesai melakukan perkara-perkara tersebut, barulah kita boleh mula ‘mengecat’.
……….
Andai kita adalah antara orang yang baru sahaja belajar mengecat, maka mintalah pendapat orang yang lebih berpengalaman. terimalah nasihat yang mereka berikan. Andai mereka mengatakan bahawa kita perlu berdakwah ‘double layer‘, maka tingkatkanlah usaha mencapai tahap yang mereka ingini. Di sinilah peranan ketua (qiyadah) sangat diperlukan dalam membimbing pekerja (jundiyah) akan teknik-teknik ‘mengecat’ yang betul dan berkesan.
Perlu diingatkan juga, menjadi seorang tukang cat bukanlah tugas yang mudah. Terpaksa menahan panas terik mengecat dinding luar rumah. Kadang-kadang sewaktu sedang mengecat, hujan turun tiba-tiba menyebabkan kita basah kuyup. Dan yang pasti, pakaian dan diri kita juga pasti akan dikotori oleh lebihan-lebihan cat tanpa kita sedari.
Samalah juga dengan jalan menjadi seorang du’at yang cuba ‘mengecat’ orang lain dengan sinar Islam. Jalan dakwah ini bukanlah jalan yang dihiasi dengan karpet merah, boleh duduk-duduk bawah kipas sambil minum air bandung cincau. Ianya adalah jalan yang sukar dan penuh halangan. Berpanas, berhujan perlu dibiasakan. Kritikan, teguran, dan masalah-masalah lain perlu bijak ditangani. Yakinlah dengan janji Allah yang akan membantu orang yang sabar menegakkan kalimahNya di muka bumi ini.
Kesudahannya, hasil penat lelah kita mengecat, maka terhasillah sebuah rumah yang cantik dan menjadi tempat berteduh untuk sesebuah keluarga. Begitulah juga hasil yang akan kita perolehi dengan berdakwah ke jalan Allah. Orang yang diseru itu boleh menjadi tempat untuk orang lain turut berlindung di bawah sinaran Islam yang sama dengannya.
Wallahu’alam.
AFA
p/s How can we learn to tolerate and respect other people? (klik)
p/ss Beginilah hasilnya rumah saya yang telah siap dicat. Cantik tak? =)
0 comments:
Post a Comment