Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakaatuh,
Alhamdulillah robbil alamin, was sola tu was salam ‘ala sayyidil mursalin wa ala aalihi wa sohbihi wa man sanna bi sunnatih ila yaum din.
Ikhwah akhawat yang dikasihi,
Kita ditakdirkan Allah untuk hidup dalam satu zaman yang ghareeb (asing) di mana pada zaman inilah terkumpulnya segala rencam kezaliman, kemaksiatan dan kefasadan yang pernah satu ketika dulu berlaku pada zaman Nabi Nuh, Ibrahim, Lut, Shuaib, Musa, Isa dan rasul yang lain. Inilah zaman yang memerlukan segala bentuk kekuatan yang dipunyai oleh rasul-rasul sebelum ini utk melawannya. Di dalam suasana begini bagaimanakah seharusnya kita memperingati kelahiran nabi kita Nabi Muhammad saw?
Mari kita menyingkapi suasana sebelum lahirnya Rasulullah saw. Ketika itu dunia dalam kegelapan tanpa cahaya petunjuk. Kuasa pemerintah yang zalim mencengkam kehidupan rakyat jelata. Manusia di seluruh alam hidup dalam kebodohan tanpa sebarang pimpinan ilahi. Wahyu yang menghubungkan langit dan bumi telah terputus beratus tahun. Tiada petunjuk kebenaran, tiada berita gembira, tiada cahaya harapan untuk manusia hidup dengan kemuliaan. Tiada sebarang nilai yang dapat mengangkat martabat manusia kembali kepada fitrahnya. Umat Nasrani yang diamanahkan kitab injil untuk memimpin manusia telah ingkar dan menolak khabar kelahiran Nabi yang terakhir. Ketaksuban mereka kepada sosok Nabi Isa menyebabkan mereka mengangkat Nabi Isa setaraf dengan Robbul ‘alamin dan lupa kepada ajaran Nabi Isa sendiri. Umat yang mengaku paling menyintai Nabi Isa adalah yang pertama sekali melakukan pendustaan kepadanya. Mereka telah durhaka dan khianat kepada ajaran Ilahi. Pelbagai penyelewengan dilakukan atas nama agama untuk mempertahankan dakyah mereka. Ketika itu, apa lagi harapan yang tinggal untuk umat manusia?
Saat itulah Allah memberikan khabar gembira kepada seluruh manusia dan pelusuk alam tentang kelahiran Nabi Muhammad saw, rasul terakhir yang menjadi pelengkap ajaran-ajaran nabi-nabi terdahulu, memimpin manusia menuju sinar Ilahi, membebaskan manusia dari segala cengkaman kezaliman, meletakkan manusia setaraf dengan kemuliaannya yang satu tika dulu telah bersujud kepadanya seluruh malaikat. Kelahirannya telah memberikan manusia degupan untuk hidup kembali berpandukan petunjuk Ilahi. Dialah Nabi Muhammad saw.
Ikhwah dan akhawat yang dikasihi,
Tiada kemuliaan lebih mulia dari menjadi umat Muhammad saw. Kita adalah umat Al-Quran, umat yang berbekalkan mukjizat yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. Allah swt dengan segala rahmahNya telah mengutuskan kepada Nabi Muhammad saw, dan dengan rahmahNya juga telah menarik nyawa Nabi Muhammad saw tanpa seorang pun dari kita sempat bertemu dengannya. Dengan rahmahNya juga telah mengamanahkan kita mukjizat Al-Quran di tangan kita. Dengan kitab ini sahajalah kita dapat membebaskan manusia dari segala bentuk kezaliman dan kebodohan, memberikan khabar gembira dan pengharapan kepada manusia. Maka perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh memahami kitab ini, mentadaburnya, menghafalnya, mengamalkannya, berhukum dengannya, menjadikannya rujukan tertinggi dalam hidup kita. Inilah tanda cinta kita kepada Nabi Muhammad saw. Tidak cukup untuk hanya kita mengulang-ngulang kalimah cinta dan rindu Nabi Muhammad tanpa sebarang pengorbanan dari kita. Janganlah kita menjadi seperti pengikut Nabi Isa yang memujanya tetapi tidak mengikuti ajarannya dan mengkhianatinya.
Dalam surah Al-Hadid Allah berfirman ‘wa anzalnaa ma’ahumul kiitab wal miizan’(57:25) di mana Allah memberikan para Nabi kitab dan mizan iaitu petunjuk atau neraca. Untuk apa? ’liyaquuman naasa bilqist’ untuk menegakkan dan memberikan keadilan kepada manusia. Tiada sebarang hukum dan neraca yang dapat memberikan keadilan melainkan keadilan haqiqi yang dapat diberikan oleh kitab dan petunjuk Allah swt. Kitab itulah yang berada pada ummat Nabi Muhammad saw, ummat Al-Quran.
Yang menariknya Allah swt mengaitkan ayat tersebut dengan penurunan ‘hadid’ iaitu besi. Cubalah lihat sekeliling kita, bagaimana kehidupan manusia sangat bergantung kepada besi dan betapa banyak manfaat besi yang Allah swt berikan. Jika bukan kerana manfaat besi, manusia kemungkinan akan berterusan hidup di dalam hutan tanpa sebarang tamadun. Itulah gambaran Allah jika kita hidup tanpa kitab dan mizaan oleh Allah swt. Sudahkah kita menjadikan ajaran yang terkandung dalam kitab, rahmah dan manfaat kepada manusia sebagaimana manfaatnya besi kepada kehidupan seharian kita?
Ikhwah akhawat yang dikasihi,
Dengan memahami sebenar-benarnya intipati ajaran Nabi Muhammad, kita sebenarnya sedang melancarkan revolusi secara total. Revolusi ini tidak sepatutnya difahami dalam erti kata membawa keganasan, kegopohan, penindasan atau kezaliman. Ia bukan datang untuk menggantikan kezaliman dengan kezaliman yang baru. Tetapi revolusi ini adalah satu usaha merubah segala sistem-sistem yang menindas manusia kepada keadilan Islam, menyatukan manusia dalam strata yang sama, menghapuskan dominan satu kaum atas kaum yang lain, menyuruh manusia untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, membebaskan manusia dan wanita dari penindasan, menegakkan keadilan walaupun terhadap diri sendiri mahupun keluarga. Kerana itulah Abu Jahal menolak tawaran Nabi Muhammad kerana ajaran yang dibawa bukan setakat merubah fikrah, akidah dan ibadah ritual semata-mata. Tetapi kerana ajaran yang dibawa Nabi Muhammad itu membebaskan para hamba, meletakkan orang miskin setaraf dengan orang kaya, mengembalikan hak dan maruah wanita, menolak penindasan dan penipuan peniaga. Kita lihat bahawa ajaran ini sifatnya merubah status quo masyarakat. Ia tidak pernah mengalir searus dengan kezaliman.
Ikhwah akhawat yang dikasihi,
Ingin saya bertanya bagaimana kita boleh menjayakan revolusi ini?
Rasulullah tidak meninggalkan kitab dan sunnahnya dalam lembaran kertas bahkan lembaran kertas itu semuanya ada bersama kita. Tetapi Rasulullah meninggalkan Al-Quran dan Sunnah dalam bentuk manusia, ya dalam bentuk Rijal. Ini yang kita tiada. Kebenaran dan keadilan tidak akan ditegakkan oleh mushaf dan helaian-helaian sunnah, tetapi ia memerlukan Rijal yang benar-benar memahami ajarannya. Rijal yang menghabiskan masa memahami dan mengkaji ayat-ayat Allah, dahinya mempunyai kesan-kesan sujud, matanya berjaga di sepertiga malam, lidahnya basah berzikir mengingati Allah, harapan dan pergantungannya cukup hanya kepada Allah. Inilah resepi kejayaan revolusi ini.
Marilah kita berusaha meletakkan setiap hari waktu untuk membaca Al-Quran, mendalami dan mengajarkannya kepada orang lain. Dunia hari ini sangat-sangat dambakan rijal Al-Quran, kerana itulah satu-satunya harapan ummat ini.
Wassalam
Yang berkhidmat,
Mus’ab Shaharom
Penolong SU Agung
IKRAM UKE
0 comments:
Post a Comment