Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
“Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.” (Al-Bukhari)
Benarlah penegasan Rasulullah bahawa jalan ke neraka akan dipenuhi dengan sesuatu yang menyeronokkan dan mampu mengisi kegelojohan hawa nafsu. Sebaliknya, jalan menuju ke syurga pasti mengundang onak dan duri, memerlukan takwa, sifat berhati-hati dalam melangkah lalu.
Rasulullah telah lama mengingatkan kita akan perihal ini, menyedari hakikat manusia yang senantiasa ditarik oleh dua dorongan, dorongan keimanan dan juga dorongan al-hawa.
Telah menjadi tabiat manusia, merasai puas dan menikmati sesuatu yang dapat memenuhi kehendaknya. Mungkin ia merupakan satu perkara baik atau buruk…oleh itu, manusia sewajarnya mampu membezakan dan memilih kenikmatan yang sebenarnya baik di dunia juga akhirat…janganlah tertipu dengan kenikmatan…
كَلا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ
وَتَذَرُونَ الآخِرَةَ
Sedarlah wahai orang-orang yang lalai, (sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya[1]. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).
(Surah Al-Qiyamah 75: 20-21)
Apabila manusia telah merasai kenikmatan, dia akan menginginkannya lagi… kerana baginya itulah kepuasan dan kesenangan…
Ingatlah apabila kau telah merasai haram, kau akan menginginkannya lagi…
Meninggalkannya adalah satu kemanisan
عن أنس رضي الله عنه أن النبي(ص) قال :ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان،
أن يكون الله ورسوله أحب إليه ممن سواهما، وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله، وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار
Dari Anas r.a., sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda:
“Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya, akan mendapati kemanisan Iman, (i) Menjadikan Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain, dan (ii) Mencintai seseorang, tidak mencintainya selain kerana Allah, dan (iii) Benci untuk kembali kepada kekufuran seperti bencinya untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
Cukuplah hadith ini mengingatkan kita agar memulakan langkah menuju ke syurga dengan mengubah persepsi terhadap kenikmatan. Mungkin sesuatu yang pelik, manusia perlu menganggap tuntutan al-hawa sesuatu yang membahayakannya sedangkan matanya terpesona dengan keindahan dan kecantikannya… hakikatnya, manusia yang terpedaya akan hanya menjadi seperti lalat yang menghampiri perangkapnya…
Kenikmatan dan kemanisan itu hanya dikecapi oleh manusia yang bermujahadah… Ia bermula daripada menanam perasaan dan sikap terhadap sesuatu…hati perlu menanam kebencian terhadap kemaksiatan… jika tidak, desakan nafsu akan senantiasa menghantui dan memperdaya dengan kesamaran. Bagi yang tidak mampu, ia akan terus menghadapi konflik jiwa, antara kepuasan dan kesedaran…dan berakhir dengan keterpedayaan…dan tiada jalan pulang.
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلا
Sesungguhnya orang-orang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.
(Surah An-Nisa’ 4: 137)
Waspada dengan kawasan larangan
…وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمَى، أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ…
“…Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya…” (Al-Bukhari dan Muslim)
Manusia perlu menyedari akan kecendurangan yang bersamanya setiap masa, akan mencari titik kelemahannya… Lantas kewaspadaan kita adalah kunci kepada keselamatan.
Kita perlu menjauhi perkara syubhat…mungkin daripada sudut hukum atau mungkin juga yang timbul daripada penyakit hati yang cuba mengaburi penilaian kita…
Rasulullah saw pun pernah mengingatkan kita bahawa seseorang mungkin perlu meninggalkan perkara yang harus baginya semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada terjerumus kepada kesalahan.
Kita juga perlu menutup pintu-pintu yang kemaksiatan…kerana barangkali perasaan benci terhadapnya boleh pudar apabila syaitan dan nafsu membisikkan kenikmatan…kerana mungkin kita pernah merasai haram.
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا
Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah Al-Isra’ 17: 32)
Sepertimana yang telah diperingatkan oleh Rasulullah saw, neraka mempunyai daya penarik yang sangat kuat, mampu memperdaya lalat yang terbang berhampiran dengannya…manusia juga selalu menjadi lalat.
Ucapkanlah ‘Berambus!’, bukan ‘Selamat tinggal, jumpa lagi…’
Islam memberi kemanisan apabila kekufuran dan kemaksiatan dirasakan pahit…kerinduan kepada maksiat perlu dikikis. Tiada lagi pertemuan yang diharapkan selepas ini setelah hubungan telah terputus, ‘it’s all over’.
Setelah itu barulah kita akan menghargai hubungan baru ini. Hubungan yang akan memberikankenikmatan yang sebenar…kerana Dia bersamaku dan aku akan bersamanya setiap masa.
قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, Iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.”
(Surah Al-An’am 6: 161-162)
Setelah itu, tiada lagi keraguan…biarpun syaitan akan senantiasa mendampingi dan memperdaya kerana tipu daya itu terlalu lemah.
قُلْ أَنَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَنْفَعُنَا وَلا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَى أَعْقَابِنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا اللَّهُ كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيَاطِينُ فِي الأرْضِ حَيْرَانَ لَهُ أَصْحَابٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى ائْتِنَا قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.
(Surah Al-An’am 6: 71)
Kebingungan akan hanya berlaku kepada manusia yang berkompromi dengan kekufuran seperti orang yang kabur penglihatannya, menanggalkan kaca mata, memilih untuk meraba-raba dalam ketidakpastian.
…sungguh memelikkan…
Beriman bermakna memilih pilihanNya
فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maka demi Tuhanmu (Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(Surah An-Nisa’ 4: 65)
Renungan,
Abu Muhammad
[1] العاجلة bermaksud sesuatu yang sementara, cepat hilang. Perkataan ini selalu digunakan di dalam Al-Quran untuk menggambarkan kenikmatan dunia.
0 comments:
Post a Comment