About Us

About Us
Brotherhood, the Foundation of Glory. (IKRAM Ireland is a part of IKRAM UK-Ireland)

Spring Camp is back for 2012!

Spring Camp is back for 2012!

Visit Our Facebook

Visit Our Facebook
Also look out for IKRAM Dublin Facebook

Keblinger

Keblinger

Apakah cita-cita awak?..

| Tuesday, July 26, 2011

Apakah cita-cita awak?..

Ditulis oleh Hassan Al Banna 

Guru kami, Syeikh Ahmad Yusuf Najati sangat gemar memilih tajuk-tajuk karangan yang menarik. Dia menghibur kami dengan kelakarnya yang menarik itu. Apabila dia merasa penat memeriksa karangan kami, dia pun berkata, ‘Ambillah karangan-karangan awak ini wahai para ulamak dan sebarkan. Duhai kaum ku, hendaklah kamu mempunyai maksud atau tujuan. Bunga-bunga bahasa yang elok ialah yang ringkas (yakni sesuatu karangan itu elok apabila ia pendek, padat dan berisi). Demi Allah, saya tidak menilai karangan awak berdasarkan panjang atau pendeknya.' Kami pun ketawa mendengar kata-katanya itu.

Kemudian, kami pun membahagi-bahagikan karangan-karangan di kalangan para penuntut. 1927 ialah tahun akhir pengajian saya di Darul Ulum. Salah satu tajuk karangan yang Syeikh Najati beri kepada kami ialah ‘Apakah cita-cita awak selepas tamat pengajian nanti? Dan cara cara yang awak hendak gunakan untuk mencapai cita-cita awak itu.’

Berikut ialah jawapan yang saya beri:


Saya berpendapat seorang yang baik akan mencari kebahagiaan dan panduan dengan berkhidmat kepada manusia. Dia merasa seronok apabila dia berupaya menghilangkan kesusahan orang dan membuat orang lain gembira. Dia sanggup berkorban untuk pembaharuan masyarakat sebagai keuntungan hakiki bagi dirinya. Dia berjihad bagi menghadapi kesukaran dan kesusahan dengan tabah dalam menegakkan kebenaran dan hidayat. Dia cuba menyelamatkan hati manusia dengan merasai penyakitnya. Dia mengkaji ciri-ciri yang mengakibatkan kemerosotan akhlak dan masyarakat. Dia berusaha untuk menegakkan peraturan masyarakat Islam yang lebih baik. Dia bersifat kasih sayang kepada manusia. Dia berusaha sebanyak mungkin untuk meringankan penderitaan manusia dan mencipta suasana yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan yang bahagia. Dia juga berusaha memimpin mereka yang telah sesat ke jalan yang benar.

Saya yakin tindakan yang tidak bermanafaat kepada orang lain dan juga dirinya ialah tindakan yang salah dan tidak berguna. Tindakan yang paling baik ialah tindakan yang bermanafaat kepada diri sendiri, saudara mara, rakan taulan dan juga negara. Tindakan yang memberi manafaat kepada umum ialah tindakan yang hebat dan mulia. Pendapat-pendapat saya ini telah mendorong saya memilih kerjaya di bidang pendidikan kerana para pendidik adalah sumber cahaya (keilmuan) bagi rakyat. Mereka menghapuskan kejahilan dan menyebarkan cahaya ilmu di seluruh dunia. Para pendidik ini seumpama lilin yang sedang menyala sambil memberi cahaya kepada orang lain. Saya yakin cita-cita tertinggi yang dapat dicapai manusia ialah mencari keredhaan Allah dengan cara yang diterima dan dirahmati Nya. Seorang manusia yang ingin mencapai cita-cita tertinggi ini akan mendapati dirinya berada di persimpangan jalan. Setiap jalan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Dia bolehlah memilih salah satu dari keduanya.

Jalan yang pertama ialah falsafah sufi yang sebenar. Dasar jalan ini ialah keikhlasan amalan dan menjauhkan diri dari kesibukan sebarang makhluk yang baik dan tidak baik. Jalan ini lebih dekat dan selamat dari jalan-jalan yang lain.
Jalan yang satu lagi ialah pendidikan (tarbiyah) dan dakwah. Jalan ini sama seperti jalan pertama tadi di segi keikhlasan dan amalan. Perbezaan jalan ini dari jalan pertama tadi ialah:

1.. dari segi hubungannya dengan manusia;
2.. dari segi kajian terhadap manusia dan institusi-institusi manusia;
3.. dari segi penglibatannya di dalam kegiatan-kegiatan masyarakat;
4.. dan dari segi menyediakan penawar untuk penyakit-penyakit masyarakat.

Inilah jalan yang lebih mulia di sisi Allah. Al-Quran menggelarnya jalan yang terpuji. Rasulullah s.a.w. sendiri menyebut kepentingan dan kelebihan jalan ini. Selepas merantau di dalam alam sufi, saya kini memilih jalan yang kedua kerana ia lebih mulia dan lebih penting. Saya juga yakin bahawa seseorang yang telah mencapai ketinggian ilmu dan berpandangan jauh sudah tentu memilih jalan yang kedua.

Saya dapati kaum ku sudah tidak mempedulikan agamanya lantaran pergolakan politik yang sedang dilaluinya dan juga kerana keadaan masyarakatnya yang terpengaruh dengan Barat. Mereka telah lupa kepada pencapaian-pencapai an gemilang nenek moyangnya. Berbagai aliran fahaman bukan Islam telah bercampur baur dengan agama Islam yang tulen itu sehingga menghasilkan fahaman-fahaman yang penuh kekeliruan Islam, di dalam bentuknya yang jelas, tulen dan mudah itu telah hilang dari pandangan. Di samping itu, terdapat pula tabir khurafat yang menyekat pertumbuhan flkiran kita. Ringkasnya, umat Islam sedang meraba-raba di dalam kegelapan jahiliyah. Golongan terpelajar dan para belia pula tenggelam di dalam jurang keraguan. Sikap ini merosakkan mereka. Iman mereka menjadi lemah dan mereka pun cenderung ke arah fahaman atheisma (mulhid).

Saya yakin manusia, di segi fitrahnya, adalah saling berkasih sayang. Dia akan mencari sesuatu yang menjadi sasaran kasih sayangnya. Tumpuan kasih sayang saya ialah seorang sahabat. Dia bersemadi di dalam diri saya seumpama roh saya sendiri. Saya menumpukan kasih sayang saya kepadanya (yakni Ahmad Afandi Sakri). Dia begitu berkesan dalam persahabatan saya.

Keyakinan saya di dalam perkara ini semua adalah mendalam dan jelas. Hanya yang perlu ialah untuk melihat ia menjadi kenyataan. Cita-cita saya terbahagi kepada dua bahagian:

1.. Cita-cita khas: Kebahagiaan keluarga dan saudara mara serta kesetiaan kepada para sahabat tercinta sentiasa mendapat keutamaan di dalam hati saya.

2.. Cita-cita umum: Saya ingin menjadi guru dan pemimpin. Saya ingin mendidik kanak-kanak pada siang hari dan mendakwah ibu bapa mereka pada waktu malam melalui perbincangan dan syarahan di sekitar agama. Ini boleh juga dilakukan dengan mengarang buku-buku dan melawat berbagai tempat.

Untuk mencapai cita-cita yang pertama (yakni cita-cita khas), saya telah meneliti sesuatu itu dengan baik. Untuk melaksanakan cita-cita yang kedua, saya telah menyediakan dua senjata akhlak iaitu ketegasan dan pengorbanan. Kedua senjata ini perlu bagi seorang tokoh pembaharuan. Bahkan rahsia kejayaan berada pada kedua senjata ini. Tokoh pembaharuan yang ada dua senjata ini tidak akan menghadapi kegagalan yang mungkin menjejaskan maruah atau mendatangkan malu kepadanya.

Di samping itu, ia juga memerlukan kepada cara praktik (amali) iaitu meneruskan pengajian. Saya juga telah menghubungi peribadi-peribadi yang sependapat dengan saya dan menyokong orang-orang yang berpendapat demikian. Badan saya lemah, namun begitu saya sudah biasa dengan kerja keras yang berterusan. Saya telah menyerahkan kehidupan saya kepada Allah. Saya berdo’a kepada Allah agar Dia menerima usaha saya ini dan memberi saya kekuatan untuk melaksanakan tugas saya. Semoga jasmani dan rohani saya mendapat bantuan Allah agar saya menjalankan tugas saya ini. Semoga Allah memberi saya keberkatan dan rahmat seperti yang terdapat di dalam firman-Nya: (Muhammad [47]:7) Maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Surah Muhammad [47]:7)

Ini adalah satu perjanjian di antara saya dan Allah dan guru saya menjadi saksi kepada perjanjian ini. Saya membuat keputusan ini seorang diri. Tiada sesiapa yang mempengaruhi saya kecuah perasaan saya sendiri. Keputusan ini adalah hasil dari kesungguhan saya kepada Allah Yang mengetahui rahsia hati manusia..’ Guru saya, Hasan Yusuf Najati memeriksa karangan saya itu dan memberi markah yang sangat baik iaitu tujuh setengah daripada sepuluh.

Dalam karangan tersebut, saya menyebut sahabat saya, Ahmad Afandi Sakri yang sama-sama berkongsi perasaan dengan saya. Dia telah berhenti berniaga dan menutup kedainya kerana hendak sama-sama bergiat dengan saya. Dia masuk berkhidmat dengan Lembaga Pelajaran Buhairah agar saya dapat bersamanya apabila saya tamat pengajian nanti.

"Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya."Al-Baqarah 2:1-5

Best Blogger Tips

1 comments:

Anonymous at: August 26, 2011 at 4:05 PM said...

subhanallah! a very inspiring and aspiring ambition!~

Post a Comment

Blog Archive

 

Copyright © 2010 Ikram Ireland | Design by Dzignine