Ingin penulis kongsikan dua kata-kata hikmah yang penulis dengari dalam sebuah majlis ilmu.
-Hidup ini adalah mimpi-
Hidup ini ibarat garisan di atas. Garisan lurus di permulaan diibaratkan seperti alam rahim di mana kita masih belum dilahirkan. Puncak di tengah-tengah garisan adalah kehidupan di dunia dan seterusnya garisan lurus yg panjang selepas itu adalah alam barzakh/alam akhirat.
Hidup kita di dunia ini sebenarnya hanyalah sementara. Ibarat sebuah mimpi. Pejam dan celik kembali untuk berada di alam yang selama-lamanya. Pendek kata, hidup ini adalah persinggahan antara alam rahim dan alam akhirat.
Ramai yang tahu hakikat ini. Tapi, sedar atau tidak, kita sering sahaja alpa. Terlalu sibuk dengan hal-hal dunia hingga kadang-kadang terlupa tanggungjawab sebagai hamba kepada pencipta-Nya.
Berapa ramaikah yang hidupnya berusaha dan berfikir untuk umat Islam dan mempersiapkan diri untuk hari akhirat?
- Manusia ibarat sarang labah-labah –
Perhatikan struktur sarang labah-labah . Sangat lemah, rapuh dan lembut. Begitulah juga kita sebagai manusia.
Firman Allah s.w.t :
“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu , dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (an-nisaa:28)
Tanpa pertolongan dan bantuan dari Allah Taala, manusia ini sangat lemah.
Ya. Kita sedar hakikat ini. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang sukar mengakui kelemahan diri di hadapan Maha Pencipta ?
Kadang-kadang, kita terlalu yakin dan percaya dengan kebolehan diri hingga terlupa memohon pertolongan dari Allah s.w.t. Setiap kejayaan, kebaikan yang yang kita peroleh sebenarnya bukanlah berpunca dari diri kita sendiri sebaliknya segalanya diperoleh atas rahmat dari Allah s.w.t.
Jadi, sebagai manusia , kita sebenarnya tidak layak untuk berasa bongkak, takbur ataupun riak dengan apa yang dimiliki.
Sentiasalah merendahkan diri di hadapan Allah dan juga sesama manusia. Moga hidup yang sebentar ini dipenuhi dengan redha dari-Nya.
0 comments:
Post a Comment